RM2/BULAN.. EMAIL ME NANAOSAKI87@HOTMAIL.COM

ads ads ads ads

Wednesday 22 June 2011

Interlok dicetak semula

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel Interlok yang menjadi teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima bagi meminda beberapa perkataan dalam novel itu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan itu ekoran aduan daripada guru-guru yang terpaksa melakukan sendiri pindaan tersebut dengan membuat tampalan pada perkataan-perkataan tertentu dalam novel berkenaan.

"Sebelum ini kita gunakan kaedah tampal perkataan-perkataan tersebut kerana kos dan perubahan tidak banyak sebab hanya sembilan muka surat sahaja yang terlibat," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini semalam. -kosmo-

Indonesia terkejut, mahu kementerian beri penjelasan

KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia melahirkan rasa terkejut dengan bilangan amah dari republik itu lari daripada majikan di negara ini dan mahu pihak berkenaan memberikan penjelasan.

Jurucakapnya, Suryana Saftradiredja (gambar) berkata, jumlah itu tidak munasabah kerana Indonesia telah membekukan penghantaran amah ke Malaysia sejak 2009.

"Saya harap Kementerian Sumber Manusia beri penjelasan kenapa mereka lari dan memberikan peratusannya yang lengkap," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. -kosmo-

Krisis bekalan air tiga hari

KUALA LUMPUR - Hampir 800,000 pengguna di beberapa kawasan kediaman dan komersial penting di sekitar Lembah Klang terputus bekalan air selama 48 jam bermula pagi ini hingga pagi Jumaat ekoran kerja-kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor.

Penutupan loji yang terletak di Bukit Badong, Ijok itu dijangka menjejaskan beberapa kawasan di pinggir ibu negara, Daerah Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, penutupan loji tersebut dilakukan ekoran kerja-kerja penggantian injap Sluice Valve di rumah pam air bersih dan pencucian kolam imbangan.

"Ini adalah kerja-kerja penyelenggaraan biasa, sebab itu kita telah keluarkan notis lebih awal bagi membolehkan orang ramai bersiap sedia.

"Kita menjangkakan sebanyak 139,000 akaun akan terjejas dengan gangguan bekalan ini," katanya ketika dihubungi semalam. -kosmo-

Pertandingan fotografi Menara Alor Setar


ALOR SETAR - Menara Alor Setar mempelawa peminat fotografi di seluruh negara menyertai pertandingan fotografi bertemakan ”Menara Alor Setar Di Tengah Bandar Warisan.”
Penolong Pengurusnya, Nur Shazana Abdul Rani berkata, pertandingan dibahagikan kepada kategori kamera SLR dan telefon bimbit.
Hadiah pertama kategori kamera SLR berupa wang tunai RM1,000 dan barangan Canon bernilai RM800, kedua RM800 dan ketiga RM500 manakala hadiah pertama kategori telefon bimbit RM500 dan barangan HP bernilai RM800 manakala hadiah kedua dan ketiga masing-masing menerima RM300 dan RM200, katanya.
Menurut Nur Shazana, peserta boleh menghantar seberapa banyak gambar kepada Sekretariat Pertandingan Foto ”Menara Alor Setar Di Tengah Bandar Warisan,” Menara Alor Setar, Lot 99, Lebuh Raya Darulaman, 05100 Alor Setar.
Katanya, maklumat lanjut mengenai terma dan syarat atau pertanyaan boleh diajukan kepada Zaidi Aziz dengan menghubungi nombor 04-7202902 atau 013-6665878.
Tarikh tutup penyertaan pada 1 September 2011. - Bernama

Cedera ditetak enam lelaki


PUCHONG: Seorang lelaki yang sedang berehat di rumah bersama isterinya terkejut apabila sekumpulan enam lelaki menyerbu masuk rumah mereka sebelum menyerang menggunakan parang, kayu dan topi keledar hingga menyebabkan lengan kirinya luka akibat ditetak.
Dalam kejadian di Jalan Wawasan 5/3 Pusat Bandar Puchong jam 1 pagi semalam, mangsa S Shanmugan, 20-an sedang berborak dengan isterinya sebelum diserbu kumpulan terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati apabila dia bertindak campur tangan dalam pergaduhan beberapa jam sebelum itu.

Menurut sumber, kumpulan samseng berkenaan menyerbu rumah mangsa dan sebaik saja masuk ke dalam rumah, seorang daripada suspek menetak mangsa dengan parang.

“Mangsa yang cuba mempertahankan diri luka di lengan kirinya ketika cuba menepis tetakan parang daripada salah seorang suspek.

“Selain itu, beberapa suspek lain turut memecahkan cermin dalam rumah mangsa sebelum melarikan diri selepas melihat mangsa berlumuran darah,” katanya, semalam.

Sumber berkata, isterinya bergegas menghantar mangsa ke Hospital Serdang.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, kumpulan terbabit dipercayai tidak berpuas hati atas tindakan mangsa campur tangan dalam satu pergaduhan di bawah pangsapuri kediamannya.

-HARIAN METRO-