RM2/BULAN.. EMAIL ME NANAOSAKI87@HOTMAIL.COM

ads ads ads ads
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts
Showing posts with label ISU SEMASA. Show all posts

Wednesday, 22 June 2011

Interlok dicetak semula

KUALA LUMPUR - Kementerian Pelajaran bersetuju untuk mencetak semula novel Interlok yang menjadi teks komponen sastera bagi mata pelajaran Bahasa Malaysia untuk pelajar Tingkatan Lima bagi meminda beberapa perkataan dalam novel itu.

Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, keputusan itu ekoran aduan daripada guru-guru yang terpaksa melakukan sendiri pindaan tersebut dengan membuat tampalan pada perkataan-perkataan tertentu dalam novel berkenaan.

"Sebelum ini kita gunakan kaedah tampal perkataan-perkataan tersebut kerana kos dan perubahan tidak banyak sebab hanya sembilan muka surat sahaja yang terlibat," katanya ketika ditemui pemberita di Lobi Parlimen di sini semalam. -kosmo-

Indonesia terkejut, mahu kementerian beri penjelasan

KUALA LUMPUR - Kedutaan Besar Indonesia di Malaysia melahirkan rasa terkejut dengan bilangan amah dari republik itu lari daripada majikan di negara ini dan mahu pihak berkenaan memberikan penjelasan.

Jurucakapnya, Suryana Saftradiredja (gambar) berkata, jumlah itu tidak munasabah kerana Indonesia telah membekukan penghantaran amah ke Malaysia sejak 2009.

"Saya harap Kementerian Sumber Manusia beri penjelasan kenapa mereka lari dan memberikan peratusannya yang lengkap," katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam. -kosmo-

Krisis bekalan air tiga hari

KUALA LUMPUR - Hampir 800,000 pengguna di beberapa kawasan kediaman dan komersial penting di sekitar Lembah Klang terputus bekalan air selama 48 jam bermula pagi ini hingga pagi Jumaat ekoran kerja-kerja penyelenggaraan Loji Rawatan Air Sungai Selangor.

Penutupan loji yang terletak di Bukit Badong, Ijok itu dijangka menjejaskan beberapa kawasan di pinggir ibu negara, Daerah Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.

Pengarah Eksekutif Hal Ehwal Korporat Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Abdul Halem Mat Som berkata, penutupan loji tersebut dilakukan ekoran kerja-kerja penggantian injap Sluice Valve di rumah pam air bersih dan pencucian kolam imbangan.

"Ini adalah kerja-kerja penyelenggaraan biasa, sebab itu kita telah keluarkan notis lebih awal bagi membolehkan orang ramai bersiap sedia.

"Kita menjangkakan sebanyak 139,000 akaun akan terjejas dengan gangguan bekalan ini," katanya ketika dihubungi semalam. -kosmo-

Cedera ditetak enam lelaki


PUCHONG: Seorang lelaki yang sedang berehat di rumah bersama isterinya terkejut apabila sekumpulan enam lelaki menyerbu masuk rumah mereka sebelum menyerang menggunakan parang, kayu dan topi keledar hingga menyebabkan lengan kirinya luka akibat ditetak.
Dalam kejadian di Jalan Wawasan 5/3 Pusat Bandar Puchong jam 1 pagi semalam, mangsa S Shanmugan, 20-an sedang berborak dengan isterinya sebelum diserbu kumpulan terbabit yang dipercayai tidak berpuas hati apabila dia bertindak campur tangan dalam pergaduhan beberapa jam sebelum itu.

Menurut sumber, kumpulan samseng berkenaan menyerbu rumah mangsa dan sebaik saja masuk ke dalam rumah, seorang daripada suspek menetak mangsa dengan parang.

“Mangsa yang cuba mempertahankan diri luka di lengan kirinya ketika cuba menepis tetakan parang daripada salah seorang suspek.

“Selain itu, beberapa suspek lain turut memecahkan cermin dalam rumah mangsa sebelum melarikan diri selepas melihat mangsa berlumuran darah,” katanya, semalam.

Sumber berkata, isterinya bergegas menghantar mangsa ke Hospital Serdang.


Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Serdang, Deputi Superintendan Lam Chien Fei mengesahkan menerima laporan dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, kumpulan terbabit dipercayai tidak berpuas hati atas tindakan mangsa campur tangan dalam satu pergaduhan di bawah pangsapuri kediamannya.

-HARIAN METRO-

Konsert Siti Nurhaliza di UITM


KUALA LUMPUR: Penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin, akan mengadakan persembahan pada 9 Julai ini sempena Konsert Malam Gala dan Karnival Ulang tahun pertama SimplySiti di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Pensyarah Fakulti Teknologi Kreatif dan Artistik (Teka) UiTM Datin Noraini Ahmad Shariff berkata konsert yang turut mengundang penyanyi Aizat, Amy Search dan Ana Rafali diadakan dengan kerjasama empat fakulti iaitu Teka, Fakulti Muzik, Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media dan Fakulti Senireka.

"Bermatlamat bagi mengisi Tabung Mengubah Destini Anak Bangsa UiTM, kesemua hasil kutipan derma dan tiket pada malam konsert akan disalurkan terus ke dalam tabung berkenaan.

"Ia bagi membantu kira-kira 5,000 pelajar cemerlang UiTM yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pengajian di dalam dan luar negara," katanya kepada pemberita di Wisma Bernama di sini hari ini.

Konsert selama dua jam itu dijangka bermula pada 8.30 malam akan turut mempamerkan persembahan tarian tradisional daripada pelajar-pelajar Sekolah Seni Johor dan Sarawak serta persembahan muzikal daripada pelajar-pelajar Fakulti Teka dan Fakulti Muzik.

-HARIAN METRO-

Projek besar untuk warga K. Terengganu


KUALA TERENGGANU - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang merancang beberapa projek besar bagi kesejahteraan warganya di bawah Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10).
Datuk Bandar MBKT Datuk Adzlan Mohd. Dagang berkata, antara projek itu adalah membina KT Central iaitu sebuah stesen bas baru yang serba lengkap di kawasan Bukit Besar, membina sistem perparitan di kawasan Kuala Nerus dan naik taraf beberapa batang jalan.
“Kita memperuntukkan kira-kira RM80 juta untuk mewujudkan lingkaran jalan di dalam bandar raya ini. Kita bercadang mewujudkan jalan lingkaran berhampiran stesen bas untuk menggelakkan kesesakan lalu lintas
“Manakala pembinaan sistem perparitan di kawasan Kuala Nerus bagi menghindar banjir yang sering berlaku,” kataya ketika berucap pada majlis MBKT bersama media di sini malam tadi. - Bernama

Rakyat buang 12,000 tan sampah sehari

SEREMBAN: Rakyat di negara ini dianggarkan membuang 12,000 tan sampah setiap hari dan jumlah ini dijangka meningkat sehingga 30,000 tan sehari menjelang 2020 jika mereka masih tiada kesedaran untuk mengitarnya semula, kata Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam Datuk Zaini Md Nor.

"Keadaan ini jika tidak diuruskan dengan baik akan menyebabkan pencemaran serta boleh menyebarkan penyakit," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian buku akaun bank bagi Program Bank Kitar Semula di Sekolah Menengah Kebangsaan St Paul di sini, hari ini. Berikutan itu, kata Zaini, kerajaan memberi perhatian terhadap program kitar semula kerana kawasan pelupusan sampah sudah semakin terhad sedangkan sisa bahan buangan semakin banyak. Katanya lebih 85 peratus rakyat Malaysia faham dan tahu tentang kitar semula tetapi hanya 55 peratus yang melaksanakan kitar semula.

Komposisi sampah yang memberikan sumbangan tertinggi adalah sisa makanan sebanyak 45 peratus, plastik (24 peratus), kertas (7 peratus), besi (6 peratus) dan kaca (3 peratus).

Pembelaan kes Khir Toyo, 13 Julai



SHAH ALAM - Pihak pendakwaan hari ini mengakhiri kes terhadap bekas Menteri Besar Selangor Dr Mohamad Khir Toyo yang didakwa melakukan rasuah berhubung pemilikan dua lot tanah termasuk sebuah banglo di Seksyen 7 di sini empat tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Abdul Wahab Mohamed memaklumkan perkara itu kepada Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Mohtaruddin Baki selepas saksi ke-25 pendakwaan, pemangku penguasa kanan Chang Ching daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selesai memberi keterangan.

Selepas perbicaraan bermula 6 Jun lepas, Mohtaruddin kemudian menetapkan 13 Julai ini untuk mendengar hujah pembelaan dan pendakwaan.

Mohamad Khir, 45, didakwa mendapatkan untuk diri dan isterinya, Zahrah Kechik, 45, suatu barangan berharga iaitu dua lot tanah dan sebuah rumah yang terletak di No. 8 & 10, Jalan Suasa 7/1L daripada pengarah Ditamas Sdn. Bhd., Shamsuddin Hayroni pada harga RM3.5 juta sedangkan ia dibeli oleh Ditamas pada 23 Disember 2004 dengan harga RM6.5 juta. - Bernama

Marsha kahwin senyap-senyap



KUALA LUMPUR: “Ya, memang saya sudah berkahwin, Ahad lalu,” kata penyanyi dan pelakon, Marsha Milan Londoh, 26, sekali gus menamatkan pelbagai gosip mengenai status terkini dirinya.


Artis berasal dari Sabah itu dicungkil bakatnya melalui program realiti Akademi Fantasia musim ketiga (AF3) berkata, majlis perkahwinannya berlangsung di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong.


Bagaimanapun, dia yang berketurunan Dusun dan beragama Kristian enggan mengulas lanjut mengenai perkahwinannya itu serta menafikan sengaja menyembunyikannya daripada pengetahuan media. 


“Bukan niat saya menyembunyikannya daripada media tetapi saya cuma mahu melakukan kejutan. Bagaimanapun, saya akan menjelaskan segala-galanya kepada rakan media dalam minggu ini.


“Buat masa ini saya perlu mendiamkan diri terlebih dulu kerana saya tidak mahu memperbesarkan perkara ini,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, semalam.


-harian metro-

Sunday, 1 May 2011

PULANG SELEPAS 13 TAHUN DI LOMBOK.


LANGKAWI: Seorang anak yang mengikut seorang lelaki ke Lombok, Indonesia sejak 13 tahun lalu pulang ke rumah ibunya di sini malam tadi.

Nooriah Abdullah, 30, tiba dari Surabaya di Lapangan Terbang Antarabangsa Padang Mat Sirat pada jam 11 malam.

Kepulangannya disambut oleh ibunya, Dayah Sibun, 64, anggota keluarga serta Ahli Dewan Undangan Negeri Kuah, Datuk Nawawi Ahmad dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Langkawi, Nur Saidi Nanyan.

Nooriah menghilangkan diri selepas memberitahu ibunya bahawa dia mahu menghadiri majlis kenduri di Padang Mat Sirat tetapi mengikut seorang jejaka Indonesia yang membawanya ke Lombok. Dia berkata, dia sudah berkahwin dengan lelaki itu dan mereka kini mempunyai dua orang anak berumur 12 dan 5 tahun. Bagaimanapun suami dan anaknya tidak mengikutnya pulang. Katanya, dia gembira dapat kembali ke tanah air tetapi masih memikirkan mengenai anak dan suaminya yang berada di Mataram. Dayah mengucapkan syukur dan berterima kasih kepada semua pihak terutama Pemuda UMNO Langkawi yang berusaha membawa anaknya pulang.

-Harian Metro

Friday, 22 April 2011

Elak makan telur mentah

MINGGU lalu, rakyat Malaysia dikejutkan dengan pendedahan Persatuan Pengguna Pulang Pinang (CAP) mengenai kewujudan telur tiruan di pasaran.

Menurut Presidennya, S.M. Mohamed Idris, telur tiruan tersebut mengandungi pelbagai bahan kimia seperti natrium alginat, alum, gelatin, asid benzoik, kalsium klorida serta air dan pewarna lemon.

Bagaimanapun Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr. Abdul Aziz Jamaluddin kemudian mengesahkan ujian yang dilakukan terhadap sampel telur ayam tiruan yang dirampas dari sebuah pasar di Pulau Tikus, Pulau Pinang itu mendapati ia tulen.

Sihat
Telur itu memiliki saiz yang luar biasa di samping bentuknya tidak bulat dipercayai berlaku disebabkan penyakit.

Kekalutan yang timbul daripada isu telur tiruan itu membuktikan telur masih penting dalam diet harian rakyat Malaysia.

Sebelum ini, telur dianggap salah satu makanan paling mengelirukan dari segi kesihatan.

Mula-mula ia dikatakan sihat dan sumber protein. Kemudian, telur didapati mengandungi kolesterol dan semua orang beranggapan mengambil telur akan menyebabkan mereka diserang sakit jantung.

Tidak lama selepas itu, penemuan membuktikan kolesterol dalam telur adalah ‘neutral’ dan kita disarankan mengambil beberapa biji telur sehari.

Namun, penemuan pada tahun 2008 oleh penyelidik di Universiti Harvard, Amerika Syarikat mendapati pengambilan sebanyak tujuh biji atau lebih telur dalam seminggu meningkatkan risiko kematian.

Daripada 21,000 lelaki yang dikaji selama lebih 20 tahun mendapati 1,550 orang diserang sakit jantung, 1,342 mendapat strok dan 5,000 meninggal dunia.

Di Malaysia, sukar untuk menentukan secara tepat bilangan telur yang diambil oleh rakyat negara ini kerana mereka turut mengambilnya secara tidak langsung seperti dalam kuih-muih, roti dan makanan lain.

Bagaimanapun, perangkaan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 10 bilion biji telur ayam dan itik dihasilkan di negara ini.

Tiga biji

Menurut pakar pemakanan dari Program Dietetik, Universiti Sains Malaysia (USM), Shariza Abd. Razak, apa sahaja makanan yang diambil secara tidak terkawal ditambah gaya hidup yang tidak sihat pasti mendatangkan risiko penyakit kepada individu terbabit.

Beliau menasihatkan pengguna supaya mengambil tidak lebih daripada tiga biji telur ayam seminggu.

“Bagi mereka yang tidak menghidap penyakit seperti tekanan darah tinggi dan hiperlipidemia atau penyakit kardiovaskular, mereka tidak perlu mengikut had yang disarankan, cukup dengan mengambil makanan seimbang.

“Malah kajian terbaru mengatakan pengambilan telur bagi individu normal membantu mengimbangkan kandungan kolesterol dalam badan,” ulasnya.

Telur juga mengandungi kesemua asid amino yang diperlukan oleh badan selain vitamin A, B12, D, asid folik, kolina dan kalsium.

Ia juga mengandungi asid lemak omega 3 yang membantu meningkatkan kandungan kolesterol baik dan mengurangkan risiko sakit jantung.

“Sungguhpun begitu, jika seseorang menghidap penyakit kardiovaskular tetapi sangat meminati telur, mereka disarankan mengambil bahagian putihnya sahaja.

“Pengambilan secara mentah pula tidak digalakkan kerana berkemungkinan mengandungi kuman Salmonella yang boleh menyebabkan keracunan makanan,” ujar Shariza lagi.

Shariza menambah, sebaik-baiknya telur direbus dan tidak digoreng kerana ia akan menambah kandungan lemak dan kalori.

Sejak dahulu lagi, telur sering dikaitkan sebagai salah satu makanan afrodisiak dan mampu meningkatkan tenaga seksual kaum lelaki lebih-lebih lagi telur ayam kampung yang bebas kimia.

Bagaimanapun, Shariza berkata tiada bukti saintifik mengatakan telur dapat meningkat kesihatan seksual.

Tetapi secara logik, jika kita makan makanan yang berzat, tubuh akan berfungsi secara optimum.

Seksual

DUA biji telur untuk sarapan pagi pasti mengenyangkan.

“Telur pula merupakan makanan lengkap yang diperlukan oleh badan, jadi pengambilannya boleh menyihatkan tubuh,” katanya.

Bagi atlet bina badan, telur merupakan makanan yang disyorkan kerana kandungan proteinnya.

Namun, ia juga perlu disertakan dengan corak pemakanan yang betul dan rutin senaman yang berkala bagi membina otot.

Shariza menambah, bagi mereka yang sentiasa mengalami kekangan waktu untuk mengambil sarapan, mereka disarankan mengambil sebiji telur sehari.

“Ia sudah cukup untuk membekalkan sebanyak 70 kalori dan mengenyangkan,” katanya.

Sebiji telur dianggarkan mengandungi lima gram protein serta merangkumi 12 peratus daripada keperluan protein harian.

Jika pengambilan protein terlalu tinggi, ia akan menyebabkan penghasilan keton.

“Keton merupakan bahan toksik kepada tubuh yang boleh mengakibatkan ginjal dan buah pinggang mengalami beban untuk mengeluarkannya daripada badan.

“Selain itu, ia akan memberi tekanan terhadap jantung dan berhadapan risiko penyahhidratan akibat proses tersebut,” kata Shariza lagi.

Namun, risiko pengambilan lebihan protein adalah rendah kecuali kepada atlet yang terlibat dengan sukan tertentu kerana mereka memerlukan protein dalam jumlah yang besar.

Di pasaran, banyak produk telur didakwa memiliki kandungan asid lemak omega 3 yang baik untuk kesihatan.

Menurut Shariza, telur tersebut biasanya mempunyai kandungan omega 3 tinggi sedikit daripada telur biasa.

Ulasnya, telur tersebut terhasil oleh cara penternakan ayam melalui pemberian makanan yang telah diformulasikan.

“Jika individu yang serius untuk meningkatkan pengambilan omega 3, lebih baik mereka mengambil hidangan ikan kerana ikan mengandungi asid lemak itu dalam kadar yang lebih tinggi,” ulasnya.

-KOSMO

Telur ayam sebesar duit syiling


GLOUCESTERSHIRE - Seekor ayam di Britain mengeluarkan telur sebesar duit syiling 50 pence (RM2.46) yang dipercayai telur terkecil di negara berkenaan, lapor sebuah akhbar semalam.

Telur setinggi 3.3 sentimeter dengan lebar 2.5 sentimeter itu ditemui oleh seorang gadis, Chloe Heath-Byard, 15, ketika dia mengutip telur ayam di rumah neneknya di sini, barat daya England, baru-baru ini.

"Saya terkejut melihat telur ayam sekecil ini. Saiznya menyamai duit syiling 50 pence," katanya.

Chloe dan neneknya merancang untuk mengawet telur ganjil itu supaya dapat menyimpannya untuk satu jangka masa yang lama. - Agensi

Sunday, 27 March 2011

TITIK GEMPA HAMPIRI MALAYSIA


KUALA LUMPUR – Kekerapan kejadian gempa bumi sejak beberapa tahun kebelakangan ini dipercayai mengakibatkan kedudukan titik gempa di Sumatera, Indonesia beralih dan semakin menghampiri Malaysia.
Pakar geologi, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, beliau tidak menolak kemungkinan itu kerana titik gempa biasanya akan mengalami pergerakan sebanyak satu sentimeter setahun jika gempa bumi kerap berlaku di sesebuah kawasan.
Beliau berkata, hakikat tersebut terbukti apabila penduduk negara kini semakin kerap merasai kesan gegaran gempa bumi yang berlaku di negara-negara sekitar rantau ini berbanding sebelum ini.
Sumber: KOSMO

Saturday, 26 March 2011

SUMBANG MAHRAM


Apakah maksud sumbang mahram?
  • Sumbang mahram adalah hubungan jenis antara mereka yang mempunyai tali persaudaraan dan perkahwinan antara mereka adalah tidak sah di sisi undang-undang atau dilarang oleh adat resam.
  • Contoh:
    • Hubungan jenis antara remaja dengan ibubapa mereka, adik beradik, ibubapa saudara, datuk dan sebagainya.
  • Kini, sumbang mahram telah dikenalpasti sebagai sejenis penganiayaan seksual yang merosakkan kesihatan fizikal, mental dan sosial.

75 KORBAN GEMPA DI MYANMAR

PENDUDUK menyelongkar runtuhan rumah yang ranap di Tachilek, semalam.

YANGON: Sekurang-kurangnya 75 orang terbunuh dan beratus-ratus penduduk hilang tempat tinggal selepas gempa bumi melanda Myanmar lewat kelmarin.
Pekerja bantuan berkata, ia mungkin mengambil masa beberapa hari sebelum jumlah kerosakan sebenar dapat diketahui.

CANDU VIDEO LUCAH.

KECANGGIHAN gajet seperti kamera dan perakam video serta Internet yang lebih mudah diakses menyebabkan penyebaran imej dan klip video lucah di negara ini kian menular.

Walaupun kemudahan tersebut dicipta untuk perkara lebih baik, ada juga yang menjadikannya medium paling murah untuk merakam dan menonton aksi pornografi.
Ada pengguna yang sengaja merakam aksi intim sendiri untuk dijadikan koleksi peribadi.
Namun, ramai juga yang menggunakannya untuk mendapatkan wang, sama ada melalui jualan ataupun peras ugut.
Tidak hairanlah pada zaman dunia tanpa sempadan ini peratusan remaja yang terbabit dalam seks bebas menurut satu kajian dianggarkan lebih 27 peratus kerana peluang dan ruang semakin terbuka termasuk mendapat bahan lucah di telefon bimbit dan Internet.
Penyebaran melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan muat turun yang boleh dibeli pada harga murah memberi pengaruh negatif kepada kanak-kanak dan remaja.